Tickerplayground.com
babies
babies
baby growth

Penuntut UTM maut jatuh dari tingkat empat

KUALA LUMPUR 13 Julai - Akibat cuba memasuki bilik dengan memanjat melalui tingkap, seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) maut akibat terjatuh dari tingkat empat Blok C, Kolej Kediaman Siswa Jaya, Setapak di sini hari ini.

Mangsa, Mohamad Khalis Zulkifle, 18, yang baru dua minggu mendaftar untuk mengikuti jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik Kuasa berbuat demikian kerana kehilangan kunci pintu biliknya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu selepas mangsa ingin memasuki biliknya selepas berjumpa dengan rakannya di blok sama.

Menurut rakan sebiliknya, Hafizuddin Abdul Razak, mangsa menggunakan cara itu untuk memasuki bilik mereka setelah kuncinya hilang sejak seminggu lalu.

''Dia memasuki bilik di sebelah yang tidak berkunci dan memanjat tingkap bilik air sebelum menyusur ke anjung di bilik kami.

''Entah bagaimana pemegang tingkap bilik yang dipegangnya tercabut dan menyebabkan dia hilang kawalan dan menjerit sebelum terjatuh.

''Kami terkejut mendengar bunyi yang sangat kuat sehingga rakan-rakan di blok lain keluar untuk melihat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.

Hafizuddin berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik bersama lima rakan yang lain dan sedang menonton cakera padat video (VCD).

''Mungkin Khalis ada mengetuk pintu tetapi kami tidak dengar kerana bunyi bising,'' ujar beliau.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang pelik sebelum itu malah mereka berdua makan bersama.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Kluang, Johor, merupakan seorang peramah, suka mengambil berat mengenai kawan-kawan dan aktif.

Sementara itu, rakan di sebelah bilik mangsa yang dikenali sebagai Amirul Hakim berkata, sebelum kejadian arwah memasuki biliknya dan menegur supaya tidak tertumpah kopi di penjuru katilnya.

''Ketika itu saya sedang baring di atas katil, arwah menegur dan terus ke tandas untuk memanjat tingkap.

''Kami tidak menyangka sesuatu yang buruk akan berlaku kerana dia sudah biasa," kata Amirul lagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi bilik mayat di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika ahli keluarga mangsa hadir untuk menuntut jenazah.

Ibu Khalis yang enggan dikenali berkata, anaknya itu tidak pernah berjauhan dengan mereka sekeluarga sebelum ini sehinggalah arwah menuntut di ibu negara.

''Saya sempat berbual dengan arwah melalui telefon dan bertanya khabar pada pukul 6 petang semalam. Tak sangka pula ia yang terakhir," katanya.

Beliau menyifatkan arwah yang merupakan anak kedua daripada enam beradik itu sebagai seorang yang taat dan berpegang kuat kepada agama.

Jenazah pelajar itu akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Bandar Kluang, Johor, untuk dikebumikan.

0 comments:

Post a Comment